Monday, February 9, 2009

Contohi solat Rasulullah ~ Albaani

Oleh: W.RAHIMAH DRAMAN

SOLAT adalah ibadah paling suci, tinggi dan luhur kerana di samping perlakuan lahir, terkumpul di dalamnya bacaan doa dan zikir dengan pengertian tertentu.

Walau pun cara bersolat tidak diperincikan al-Quran, tetapi pelaksanaannya dijelaskan secara terperinci menerusi atau hadis Rasulullah s.a.w.

Malah Rasulullah s.a.w. bersabda: Hendaklah kamu bersolat sebagaimana kamu melihat aku bersolat. (riwayat Bukhari dan Ahmad b.Hanbal)

Ini adalah antara intipati dalam kata pengantar buku Contoh Sembahyang Rasulullah s.a.w. edisi Bahasa Malaysia terbitan Dienie Publishers, Kuala Lumpur.

Tajuk asal buku tulisan Muhammad Naasiruddin Albaani dalam bahasa Arab yang mula dicetak di Kota Damsyik pada tahun 1370 Hijrah ini ialah Sifah Shalaah An-Nabiy.

Albaani, seorang tokoh besar ulama hadis dan pengarang sunah Nabi s.a.w. di Asia Barat menurut penterjemah buku ini, Abdullah Salleh, hanya mengumpulkan hadis-hadis yang sahih (benar) dan benar-benar menggambarkan keadaan atau sifat solat Nabi (m/s:3).

Berbeza dengan buku-buku panduan solat yang disusun oleh kebanyakan cerdik pandai tempatan dan luar, buku terjemahan Contoh Sembahyang Rasulullah s.a.w. ini disifatkan paling sempurna.

Usahakanlah mendapatkan senaskah buku ini bagi memperbetul dan menambah baik cara serta rukun-rukun solat harian kita agar ia lebih berkesan dalam amalan kehidupan.

Ini kerana khazanah ilmu tinggalan imam dan tokoh ulama besar hadis Nabi ini terus diulang cetak dan diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa di seluruh dunia hingga ke hari ini.

Buku setelah 184 muka surat dengan tujuh bahagian ini menjelaskan cara amalan dan perlakuan solat Nabi dari mula berdiri menghadap kiblat hingga selesai salam dan berdoa yang sama ada dalam solat fardu mahupun sunat.

Hampir setiap amal perbuatan dan bacaan solat yang dititipkan dalam buku ini disertakan dalil dari hadis-hadis sahih di samping firman Allah s.w.t. Contoh solat Nabi dalam buku ini dimula dengan tajuk utama ‘beberapa kelakuan sembahyang sebelum niat’ dengan 10 tajuk kecil, termasuk cara menghadap kiblat, berdiri, solat orang, solat dalam perahu, berkasut dan solat atas mimbar.

Bahagian kedua dengan tajuk utama ‘Dari niat sampai membaca al-Fatihah’ ada 17 tajuk kecil sebagai perinciannya. Surah-surah yang sering dibaca Nabi dalam solat untuk semua jenis solat diletak pada bahagian ketiga yang diuruti pula dengan 12 tajuk kecil termasuk bacaan surah-surah secara tartil dan mengeluarkan suara.

Perlakuan rukuk dan iktidal pula dijelaskan satu persatu di bahagian keempat melalui enam tajuk kecil termasuk zikir-zikir semasa rukuk dan iktidal.

Mengenai cara solat Nabi ketika sujud dan duduk antara dua sujud pula dijelaskan pada bahagian kelima yang dibahagikan kepada 10 tajuk kecil lagi.

Bahagian keenam menjadikan tasyahud, qunut dan selawat kepada nabi sebagai tajuk utama dengan lapan tajuk kecil.

Buku ini diakhiri dengan tajuk bacaan-bacaan sebelum salam di bahagian ketujuh dan terakhir dengan empat lagi pecahan tajuk kecil.

Penutup buku ini memberitahu, setiap perlakuan mengenai sifat solat Nabi s.a.w. adalah sama untuk diamalkan oleh lelaki mahupun wanita.

No comments:

 
Hit CountersRank Noodle