Showing posts with label Pendidikan. Show all posts
Showing posts with label Pendidikan. Show all posts

Monday, February 9, 2009

Contohi solat Rasulullah ~ Albaani

Oleh: W.RAHIMAH DRAMAN

SOLAT adalah ibadah paling suci, tinggi dan luhur kerana di samping perlakuan lahir, terkumpul di dalamnya bacaan doa dan zikir dengan pengertian tertentu.

Walau pun cara bersolat tidak diperincikan al-Quran, tetapi pelaksanaannya dijelaskan secara terperinci menerusi atau hadis Rasulullah s.a.w.

Malah Rasulullah s.a.w. bersabda: Hendaklah kamu bersolat sebagaimana kamu melihat aku bersolat. (riwayat Bukhari dan Ahmad b.Hanbal)

Ini adalah antara intipati dalam kata pengantar buku Contoh Sembahyang Rasulullah s.a.w. edisi Bahasa Malaysia terbitan Dienie Publishers, Kuala Lumpur.

Tajuk asal buku tulisan Muhammad Naasiruddin Albaani dalam bahasa Arab yang mula dicetak di Kota Damsyik pada tahun 1370 Hijrah ini ialah Sifah Shalaah An-Nabiy.

Albaani, seorang tokoh besar ulama hadis dan pengarang sunah Nabi s.a.w. di Asia Barat menurut penterjemah buku ini, Abdullah Salleh, hanya mengumpulkan hadis-hadis yang sahih (benar) dan benar-benar menggambarkan keadaan atau sifat solat Nabi (m/s:3).

Berbeza dengan buku-buku panduan solat yang disusun oleh kebanyakan cerdik pandai tempatan dan luar, buku terjemahan Contoh Sembahyang Rasulullah s.a.w. ini disifatkan paling sempurna.

Usahakanlah mendapatkan senaskah buku ini bagi memperbetul dan menambah baik cara serta rukun-rukun solat harian kita agar ia lebih berkesan dalam amalan kehidupan.

Ini kerana khazanah ilmu tinggalan imam dan tokoh ulama besar hadis Nabi ini terus diulang cetak dan diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa di seluruh dunia hingga ke hari ini.

Buku setelah 184 muka surat dengan tujuh bahagian ini menjelaskan cara amalan dan perlakuan solat Nabi dari mula berdiri menghadap kiblat hingga selesai salam dan berdoa yang sama ada dalam solat fardu mahupun sunat.

Hampir setiap amal perbuatan dan bacaan solat yang dititipkan dalam buku ini disertakan dalil dari hadis-hadis sahih di samping firman Allah s.w.t. Contoh solat Nabi dalam buku ini dimula dengan tajuk utama ‘beberapa kelakuan sembahyang sebelum niat’ dengan 10 tajuk kecil, termasuk cara menghadap kiblat, berdiri, solat orang, solat dalam perahu, berkasut dan solat atas mimbar.

Bahagian kedua dengan tajuk utama ‘Dari niat sampai membaca al-Fatihah’ ada 17 tajuk kecil sebagai perinciannya. Surah-surah yang sering dibaca Nabi dalam solat untuk semua jenis solat diletak pada bahagian ketiga yang diuruti pula dengan 12 tajuk kecil termasuk bacaan surah-surah secara tartil dan mengeluarkan suara.

Perlakuan rukuk dan iktidal pula dijelaskan satu persatu di bahagian keempat melalui enam tajuk kecil termasuk zikir-zikir semasa rukuk dan iktidal.

Mengenai cara solat Nabi ketika sujud dan duduk antara dua sujud pula dijelaskan pada bahagian kelima yang dibahagikan kepada 10 tajuk kecil lagi.

Bahagian keenam menjadikan tasyahud, qunut dan selawat kepada nabi sebagai tajuk utama dengan lapan tajuk kecil.

Buku ini diakhiri dengan tajuk bacaan-bacaan sebelum salam di bahagian ketujuh dan terakhir dengan empat lagi pecahan tajuk kecil.

Penutup buku ini memberitahu, setiap perlakuan mengenai sifat solat Nabi s.a.w. adalah sama untuk diamalkan oleh lelaki mahupun wanita.

Memahami pemikiran Imam Syafie

Oleh Idris Musa
idris@hmetro.com.my

RAMAI mengenali Imam Syafie sebagai seorang guru besar dalam fekah dan usul fekah, malah dengan kehadiran kitabnya ar-Risalah (usul fekah) dan al-Um (fekah), ada pula pihak yang menidakkan kepakaran beliau dalam aspek lain, sedangkan ia tidak sedemikian.

Dekan Fakulti Agama Islam Universitas Muhammadiyah Yogyakarta, Indonesia, Dr H Yunahar lyas, berkata Imam Syafie juga terkenal sebagai seorang ahli hadis dan sastera Arab.

“Bahkan sejak usia kanak-kanak, beliau sudah menghafal ribuan syair. Satu karya sasteranya yang terkenal ialah kumpulan syair, Diwan as-Syafie.

“Keahlian Imam Syafie dalam bidang akidah juga tidak kurang pentingnya, tetapi tidak ramai yang mengetahuinya,” katanya di Seminar Pemikiran Tajdid Imam Syafie di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Seminar anjuran Kerajaan Negeri Perlis itu turut dihadiri Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Imam Syafie adalah seorang ulama salaf yang secara murni mengikuti al-Quran dan sunnah tanpa dipengaruhi oleh ahli falsafah (kalam), malah banyak mengkritik ahli kalam yang membahas persoalan akidah dengan pendekatan falsafah.

Yunahar berkata, tajdid pemikiran Islam dilakukan Imam Syafie dalam dua bentuk.

“Pertama, pemurnian tauhid dari segala bentuk kemusyrikan, tahyul dan khurafat, memurnikan ibadat dari segala bentuk bidaah dan akhlak dari nilai bertentangan dalam Islam.

“Kedua, reformasi iaitu menterjemahkan dan mengembangkan ajaran Islam dalam aspek muamalat atau ibadat secara umum sehingga dapat menjawab persoalan dihadapi umat manusia sepanjang zaman,” katanya.

Imam Syafie menjadikan al-Quran dan sunnah sumber kepada ajaran Islam, yang mampu menjawab semua persoalan, sama ada berkaitan fekah atau akidah.

“Dalam menetapkan masalah akidah, Imam Syafie memulainya dengan menyebut nas al-Quran dan sunnah termasuk ketika berhujah menghadapi penentang.

“Kita tidak menemui Imam Syafie melakukan takwil terhadap nas terbabit dan tidak pula menemui beliau merujuk nas itu kepada pendapat ahli ilmu kalam,” katanya.

Dalam kes pelaku dosa besar misalnya, Imam Syafie mempunyai pendapat yang jelas terutama pendekatan bersifat falsafah.

“Imam Syafie berpendapat pelaku dosa besar tetap menjadi seorang Muslim. Jika bertaubat, Allah akan menerima taubatnya. Jika mati dalam berbuat dosa, urusannya diserahkan kepada Allah, sama ada diampuni atau diseksa. Yang jelas tidak kekal di dalam neraka.

“Kelompok Khawarij mengatakan orang Islam yang melakukan dosa besar menjadi kafir, jika tidak bertaubat kekal di dalam neraka.

“Muktazilah mengatakan, si pelaku dosa besar di dunia berada di antara dua posisi, tidak kafir dan tidak mukmin.

“Bagi Murjiah, orang yang mengucapkan La ilaha illallah adalah mukmin yang sempurna imannya dan setiap mukmin pasti masuk syurga. Mereka mengatakan dosa tidak mempengaruhi iman.”

Menurutnya, tajdid yang dilakukan Imam Syafie masih relevan dilakukan dalam zaman sekarang, kerana sampai hari ini akidah umat Islam belum lagi bersih dari unsur kemusyrikan.

KEUTAMAAN MENGAJAR

Orang yang mengajar kebaikan, segala sesuatu memintakan ampunan baginya hingga ikan-ikan yang ada di dalam laut. (Riwayat Jabir)
a)Kebaikan yang dimaksudkan ialah ilmu agama yang betul (apa yang boleh dan tidak boleh, halal, haram). Apa lagi yang lebih baik dari agama?
b) Segala sesuatu (pokok, batu dan sebagainya)
c) Begitu juga orang yang belajar , juga diampunkan
d) Dalam kebanyakan hadis sama orang yang mengajar dan belajar kecuali satu hadis:

Malaikat melebarkan sayapnya keatas penuntut ilmu agama yang ikhlas kerana Allah. Orang yang belajar kena buat (amal apa yang betul, tinggal apa yang tidak betul-yang dibuat semata-mata kerana ikut-ikutan)

Falsafah Pendidikan Islam

Apakah sebenarnya yang dikatakan Falsafah Pendidikan Islam?

Sebelum kita meninjau Falsafah Pendidikan Islam, adalah lebih elok diperincikan dahulu tentang Falsafah Islam itu sendiri dan juga asal perkataan falsafah. Perkataan falsafah berasal daripada bahasa Yunani Kuno, dan dalam pengertian yang bebas ia bermaksud "Cintakan Hikmah"(Al-Syaibany, 1991) Hikmah ialah satu pandangan dan fikiran yang tinggi atau jauh serta matang. Pengamatannya tidak dapat dicapai oleh pengetahuan biasa.

Dalam Oxford Dictionary (1982) ditakrifkan falsafah sebagai:
"Seeking after wisdom or knowledge especially that which deals with ultimate reality, or with the most general causes and principles of things and ideas and human perception and knowledge of them, physical phenomena and ethics"

Jadi, falsafah merupakan satu usaha untuk mencari kebenaran, (seeking the thruth), dan kebenaran itu sebenarnya hanya Allah. Kalau kita cuba mencari erti hakikat hidup, maka ini adalah falsafah. Hakikat hidup yang sebenar hanya Allah sahaja yang mengetahuinya. Yang kita tahu berdasarkan apa yang diberitahu oleh Allah, maka itulah yang benar dan mutlak. Yang kita fikirkan sendiri menjadi falsafah kita dan tidak bersandarkan kepada kitab Allah, maka itu tidakalah sebenar, ia tidak mutlak dan ianya bersifat relatif. Sebab itu bermacam-macam falsafah timbul hasil pemikiran manusia. Seperti Liberalisme, Idealisme, Asetisme, Eksistensialime, Hedonisme, Kapitalisme, Kommunisme dan banyak lagi. Jika falsasfah itu berpunca daripada Allah atau wahyu, maka ia akan sama sahaja perinsipnya dan juga matlamatnya.

Falsafah Islam ialah falsafah yang berteraskan wahyu, iaitu Al-Quran dan As-Sunnah. Jadi apabila seseorang Islam yang faham Islam membincangkan mengenai falsafah, tidak kira sama ada falsafah hidup atau falsafah pendidikan atau pun yang lain-lain, perbincangannya tidak akan lari daripada prinsip dan matlamat Islam. Sebaliknya, seorang Islam yang tidak memahami hakikat Islam, malah ia telah lebih dahulu mendalami falsafah lain daripada Islam, menjadi sangat susah ia menerima falsafah Islam. Malah falsafahnya yang dikatakan Islam itu dalam banyak hal bertentangan dengan kehendak Islam.

Jika falsafah itu diertikan dengan "cintakan hikmah atau kebenaran" maka falsafah Islam bererti cintakan hikmah atau kebenaran yang berasaskan ajaran Islam. Dan ajaran Islam itu bersumberkan wahyu, iaitu Al-Quran dan As-Sunnah. Failasuf Islam dari setiap zaman, apabila membincangkan tentang falsafah biasanya mereka tidak akan lari daripada soalan-soalan berikut sebagai asas perbincangan, iaitu: Siapa anda (apa hakikat diri anda)? Dari mana anda datang? Kenapa anda berada di sini (alam dunia)? Kemana anda akan pergi? Apa tujuan hidup? Dan apakah hakikat mati? (Yaljin, 1991).

Perkataan hikmat disebut beberapa kali di dalam Al-Quran dengan maksud yang berbeza mengikut qarinah ayat berkenaan. Hikmah ada kalanya bermaksud bijaksana (surah An-Nahli 125). Mengikut Muhammad Nasir (1978) hikmah di sini bermaksud mengenal golongan. Sheikh Muhammad Abduh pula berkata bahawa "Hikmah itu ialah memahami sesuatu tentang rahsia dan faedahnya".

Untuk memahami sesuatu tentulah memerlukan ilmu, kerana ilmulah penyuluh untuk mengenal sesuatu. Jadi ilmu ini tentulah ilmu yang benar. Dalam versi yang lain Muhammad Abduh mengatakan bahawa "Hikmah itu ilmu yang benar yang menjadi pengerak untuk melakukan sesuatu pekerjaan yang berfaedah"

Orang yang mempunyai hikmah ini digelar "Hakeem". Ia bermaksud orang yang mahir dalam sesuatu bidang dan melakukannya dengan cukup baik dan halus (Muhammad Nasir, 1978). Adakalanya hikmah itu bermaksud ilmu, iaitu ilmu yang tinggi martabatnya. Ini berdasarkan ayat 269 surah al-Baqarah. Orang yang mempunyai hikmah mempunyai pandangan yang jauh, bukan setakat lima atau enam puluh tahun ke hadapan, tetapi sampai ke alam akhirat. Ini jelas seperti cerita Luqman al-Hakeem di dalam Al-Quran.

Falsafah Islam cuba maencari hakikat manusia dan alam semesta ini. Setelah berusaha mencari dan berfikir berdasarkan wahyu, maka dapat dirumuskan bahawa manusia dijadikan oleh Allah untuk hidup di alam ini sebagai hamba dan khalifah, kemudian mereka akan mati dan akan dipersoalkan tentang tanggungjawab dan amanah yang diberikan oleh Allah. Ini adalah berdasarkan kepada ayat-ayat 55 surah Az-Zariyat, 30 Al-Baqarah, 72 Al-Ahzab, 172 Al-A`raf dan lain-lain.

Falsafah Pendidikan Islam pula ialah falsafah pendidikan yang berteraskan ruh Ialam, iaitu falsafah Islam untuk pendidikan, dan ia disebut Falsafah Pendidikan Islam (Al-Syaibany, 1991). Jadi, maksud daripada Falsafah Pendidikan Islam ialah menyediakan manusia dengan dan ilmu pengetahaun yang cukup agar ia kenal dirinya serta tugas dan tanggungjawabnya, serta mengetahui cara untuk menjalankan atau melaksanakan tanggungjawabnya sebagai hamba dan khalifah Allah. Bila ia dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab ini dengan baik maka jadilah ia insan yang saleh.

Ahli falsafah pendidikan Islam atau failasuf pendidikan Islam ialah orang yang berusaha berfikir mencari apakah perkara-perkara yang perlu dimasuklah ke dalam kurikulum pendidikan. Ini termasuklah ilmu, kemahiran, nilai, pengalaman dan sebagainya, yang mana setelah menjalani pendidikan beberapa lama akan lahir seorang insan yang kenal dirinya, kenal Tuhannya, faham tujuan Allah jadikan segala yang ada, mengetahui hukum-hukum Allah dan mengamalkannya, bertamadun, pandai berkawan sama ada dengan orang Islam atau pun bukan Islam. Antara perkara yang penting yang difokuskan oleh falsafah pendidikan Islam ialah:

Pendidikan Aqidah, Pendidikan Ibadah, Pendidikan Akhlak, Pendidikan Akal, Pendidikan Jasmani, Pendidikan Rohani, Pendidikan Keterampilan, Pendidikan Keibubapaan, Pendidikan Kemasyarakatan, Pendidikan Kepimpinan, dan banyak lagi.

Jadi, berdasarkan falsafah Islam, semua perkara yang disebutkan diatas itu perlu ada dan menjadi tajuk-tajuk penting dalam kurikulum pendidikan Islam. Dengan demikian, barulah dapat melahirkan insan soleh yang mampu melaksanakan tugasnya sebagai hamba dan khalifah Allah dengan betul dan sempurna seperti yang dibincang dalam Matlamat Pendidikan Islam. Penyataan Falsalah Pendidikan Islam yang digubalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, nampaknya ada unsur untuk menuju ke arah ini.

Sumber: http://pendislami.tripod.com/new_page_1.htm
 
Hit CountersRank Noodle